Hidup Bersama

Dalam entri ini, aku sertakan satu karya agung oleh sasterawan negara, A Samad Said. Kesungguhan beliau dalam mendeklamasikan setiap rangkap puisi ini telah membuat aku berfikir tentang banyak perkara. Setiap barisan disusun indah dengan maksud yang mendalam telah menyentuh jiwa merdekaku. Video ini telah ku ulangi beberapakali dan menjadi kegemaranku sepanjang minggu. Aku ada juga mencari laman web yang membuat kupasan atau ulasan tentang puisi ini. Namun begitu, aku masih belum menemui mana-mana web atau blog yang mengulas setiap barisan penulisan ini.

Puisi Hidup Bersama ini bertemakan idealisme bangsa demi kemerdekaan Malaysia. Pada awal puisi ini Pak Samad menyatakan bahawa zaman peperangan di negara kita sudah lama berakhir tetapi kita masih perlu berusaha dalam mengisi kemerdekaan. Ungkapan pertama beliau sahaja sudah membuatkan jiwa ini bergetar dan masih mahu mendengarkan lagi apa yang akan disampaikan oleh beliau. Pada pengakhiran puisi ini pula, beliau menyentuh tentang kebersamaan yang perlu ada oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita dalam meneruskan pengisian kemerdekaan.

Puisi ini  bukan sahaja mempunyai ayat yang indah, bahkan mempunyai seribu makna tersurat dan tersirat yang perlu kita hayati dalam mengekalkan kemerdekaan negara pelbagai bangsa. Puisi ini juga perlu diperdengarkan kepada masyarakat Malaysia agar mereka dapat menghadam mesej yang ingin disampaikan oleh Pak Samad dan terkesan dengan kata-kata perjuangan yang disampaikan oleh beliau. Sekian sahaja entri aku buat minggu ini. Dibawah merupakan puisi dan video puisi kegemaranku yang aku ingin kongsikan. Selamat menghayati !


Hidup Bersama – A. Samad Said

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan tofan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.
Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.
Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.
September 2001



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADIWANGSA

Inaugural